Cipta sejarah Cicak-Man

  • Filem ini merupakan filem pertama Malaysia berasaskan adiwira.
  • Kutipan tiket sebanyak RM350,000 untuk hari pertama tayangan.[5]
  • Kutipan kasar RM3.5 juta dalam masa 10 hari tayangan.
  • Kutipan keseluruhan di Malaysia berjumlah RM 5.2 juta.
  • Penggunaan imej janaan komputer (CGI) paling banyak dalam industri filem Malaysia.
  • Penonton terdiri daripada pelbagai bangsa walaupun selalunya filem-filem Melayu hanya ditonton oleh orang Melayu.[6]
  • Filem ini menyindir kualiti cakera padat cetak rompak dengan menggunakan klon sebagai simbol benda yang dicetak rompak.
  • Semasa membebaskan menteri yang telah diklon, Cicak-Man bertanyakan soalan yang lucu, berbunyi "Original ke Spicy?" melambangkan perisa ayam KFC yang terdapat di Malaysia.

Penghargaan

Filem Cicak-Man ini telah pun mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak atas usaha yang dilakukan oleh pengarahnya sebelum ia ditayangkan. Antara yang memuji beliau ialah Datuk Yusof Haslam. David Teo sebagai penerbit dan juga Ketua Pegawai Esekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG) juga menganggap Cicak-Man sebagai satu keajaiban dengan sambutan dan kelainan yang ditonjolkan dalam industri perfileman Malaysia. Selain pembikin filem, bekas Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim juga memuji karya yang dihasilkan Yusry dan KRU.[7]

Produk

Sebelum ini, Malaysia tidak pernah menghasilkan filem seperti Cicak-Man, tetapi apabila filem ini dihasilkan, pengedaran dan penjualan produk telah diambil perhatian selain daripada tayangan di pawagam. Cicak-Man dijangka memperoleh RM10 juta daripada jualan tiket di pawagam, penjualan hak penyiaran ke beberapa negara, novel, cenderahati seperti kemeja-T[8], topi[9], gelas[10], pen, rantai kunci dan lencana butang[11]. KRU Films dalam perancangan menjual filem ini ke beberapa buah negara di Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Arab Saudi. Program Titian Budaya Malaysia-Republik Indonesia yang diadakan di Jakarta Convention Centre (JCC) selama tiga hari bermula 16 Disember 2006 pula telah membawa filem ini ke Indonesia. Ia telah membantu mempromosi nilai komersial pada filem ini apabila ditayangkan bermula 17 Disember 2006 bersama dengan 6 filem lain iaitu Pontianak Harum Sundal Malam 2, Gubra, Bilut, Castello, Buli dan Puteri Gunung Ledang. Mereka juga bercadang untuk menerbitkan rancangan bersiri Cicak-Man pada tahun 2007.